10 Julai 2017 - 07:02
Qatar Akan Terbangkan 4,000 Ekor Lembu Ke Negara Itu

Qatar sedang bersiap-sedia untuk melancarkan sebuah pelan berani mereka untuk mengangkut ribuan lembu dari Jerman, Amerika Syarikat dan Australia untuk memenuhi keperluan produk tenusu mereka berikutan sekatan yang dikenakan oleh pakatan pimpinan Arab Saudi ke atas negara Arab kecil itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Qatar sedang bersiap-sedia untuk melancarkan sebuah pelan berani mereka untuk mengangkut ribuan lembu dari Jerman, Amerika Syarikat dan Australia untuk memenuhi keperluan produk tenusu mereka berikutan sekatan yang dikenakan oleh pakatan pimpinan Arab Saudi ke atas negara Arab kecil itu.

The Sunday Telegraph melaporkan bahawa pelan itu dirancang oleh seorang ahli perniagaan Syria, Moutaz al-Khayyat yang juga merupakan pengerusi syarikat Power International Holding yang berpusat di Doha.

Menurut perancangan, sebuah pesawat yang diubahsuai secara khusus untuk tujuan tersebut akan mendarat di Qatar pada minggu ini dengan muatan 140 ekor lembu. Lembu itu kemudiannya akan dipindahkan ke sebuah gudang berhawa dingin yang terletak di sebuah gurun.

Setiap dua atau tiga hari, lebih banyak pesawat yang akan dibawa masuk ke negara Arab itu sehingga angka haiwan yang tiba di negara padang pasir itu mencecah 4,000 ekor.

Menurut laporan, sebanyak 60 penerbangan diperlukan untuk membawa kesemua haiwan tersebut.

Para pegawai Qatar pula membuat persamaan di antara projek ini dengan 'pengangkutan udara Berlin' tahun 1948 apabila dunia Barat memecahkan sekatan yang dikenakan oleh Kesatuan Soviet ke atas Berlin Barat dengan memulakan penerbangan yang membawa bekalan ke lapangan udara Tempelhof.

"Apa yang cuba disampaikan oleh dunia Barat pada masa itu adalah; kami akan memastikan Berlin terus berfungsi di sebalik sekatan yang dihadapinya," kata Fahad al-Attiyah yang merupakan Duta Besar Doha ke Moscow.

Al-Khayyat memberitahu pemberita bahawa beliau berharap bahawa lembu-lembunya itu pada akhirnya akan menjadikan Qatar mandiri di dalam penghasilan susu.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Qatar pada 5 Jun lepas selepas secara rasmi menamakan Doha sebagai penaja keganasan.

Arab Saudi dan pakatan pimpinannya pada 23 Jun lepas mengemukakan senarai tuntutan yang terdiri daripada 13 perkara kepada Qatar. -ABNA24

/315